Seorang budak lelaki berusia 14 tahun ditangkap semalam dan akan didakwa di Mahkamah Juvenil hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan nakal hingga mengakibatkan kebakaran, menurut jurucakap polis lewat malam tadi.
Semasa kejadian kira-kira 2 petang itu, sekitar 30 jemaah berada dalam dewan solat dan 120 pelajar di bangunan Darul Quran Singapura dalam kawasan masjid itu.
Kesemua mereka sempat meninggalkan masjid itu sedang api merebak, namun seorang jemaah cedera ringan akibat terjatuh semasa berlari keluar dari dewan masjid.
Bangunan masjid lama dan bangunan Darul Quran Singapura, bagaimanapun, tidak terjejas.
Kebakaran itu mengejutkan ramai anggota masyarakat dan ramai datang untuk melihat. Pihak berkuasa terpaksa mengepung jalan dekat masjid itu bagi memudahkan kerjakerja memadam api.
Masjid Kampong Siglap asalnya dibina pada 1846, tetapi telah dibangunkan semula beberapa kali, termasuk pada 1902 di atas tapak sekarang, yang diwakafkan seorang wanita bernama Hajijah.
Masjid sekarang didirikan pada 1992 dan mempunyai ruang solat bagi 3,000 jemaah selain menjalankan prasekolah bagi 180 murid.
Bangunan Darul Quran Singapura dalam kawasan masjid itu setinggi tiga tingkat dan dirasmikan April lalu. Ia sebahagian projek peningkatan Masjid Kampong Siglap yang menelan belanja $4.48 juta.
Oleh Hisham Hasim dan Shamsul Jangarodin (Berita Harian)